Saturday, 29 October 2011

MASALAH PEMBELAJARAN-KBK 1013

1.0 Pengenalan Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran
Pada tahun 1980-an, istilah bagi ‘Masalah Pembelajaran’ telah digunakan bagi menggantikan istilah lama iaitu ‘Cacat Akal’. Penggunaan bagi istilah masalah pembelajaran ini telah diperkenalkan oleh Laporan Warnock bagi merujuk kepada kanak-kanak dengan keperluan khas. Penggunaan istilah ini adalah lebih positif untuk mengurangkan keaiban kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini. Masalah pembelajaran ini juga dapat dikenali melalui kategori-kategorinya dengan pelbagai jenis kecacatan termasuk terencat akal, down sindrom, autisme, cerebral palsy, masalah dalam komunikasi dan perkembangan bahasa, masalah emosi dan tingkah laku, kecacatan anggota, hiperaktif, hipoaktif, keupayaan mental yang rendah, dan pintar cerdas. Terdapat pelbagai jenis kesulitan yang dihadapi oleh kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini. Antara kesulitannya adalah dalam berinteraksi dengan persekitaran, iaitu satu situasi yang menghalang kemampuan belajar dan pembentukan pemahaman dunia sekitar mereka. Kesulitan ini bukan sahaja disebabkan perkembangan yang terlalu lambat tetapi juga berkaitan dengan kecacatan yang terlalu kompleks dari segi psikiatri, neurologi, psikologi dan fisiologi yang telah memberi kesan ke atas fungsi sebenar kanak-kanak.

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini juga memerlukan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan menggalakkan interaksi sesama mereka. Keadaan ini memerlukan keupayaan guru yang tinggi dalam mengenalpasti cara murid itu bertingkah laku. Kanak-kanak sebegini juga akan sentiasa memberikan tekanan emosi kepada guru jika guru tersebut tidak bijak mengawal keadaan. Antara tingkah laku yang sukar dikawal oleh guru adalah seperti mempunyai sikap agresif daripada segi fizikal, mencederakan diri sendiri, menjerit dan membuat bising, tidak minat belajar dan banyak lagi. Perbuatan sikap agresif daripada segi fizikal oleh kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran ini merupakan masalah yang sukar dan memberikan tekanan. Guru yang mengajar kanak-kanak ini perlu menggunakan pelbagai strategi yang efektif untuk mengawal tingkah laku kanak-kanak ini serta menarik perhatian mereka untuk belajar (Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran 2005:61).

Selain itu, terdapat beberapa definisi yang menerangkan tentang Masalah Pembelajaran ini. Antaranya adalah definisi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Khas atau kini lebih dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu, “Murid Bermasalah Pembelajaran adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah kognitif (kerencatan akal) yang boleh diajar (educable) dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal”. Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini adalah dibawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia seperti Sindrom Down, Autisme ringan, Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorders/ ADHD), Terencat akal minima, Kurang upaya dalam pembelajaran (Learning Disability), dan Kurang upaya dalam pembelajaran khusus seperti Disleksia (Pengenalan Pendidikan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran 2007 :3).

Di samping itu juga, kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini juga didefinisikan sebagai kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal atau doktor sebagai mengalami kecacatan yang telah mengganggu proses pembelajaran bagi kanak-kanak tersebut. Kecacatan yang berlaku ini boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan-kebolehan yang berikut seperti kebolehan kognif, tingkah laku sosial, penguasaan bahasa lisan, penguasaan membaca, kemahiran perkembangan dan kemahiran matematik.


1.1 Ciri-Ciri Umum Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran

Terdapat pelbagai ciri-ciri umum untuk mengenali kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran ini, selain dapat membantu pakar-pakar diagnostik dan guru-guru dalam mengenal pasti dan membimbing kanak-kanak ini. Antaranya adalah melalui ciri-ciri fizikal, intelek serta sosial dan peribadi. Menerusi ciri-ciri fizikal, iaitu kanak-kanak ini mempunyai bentuk badan dan koordinasi motor yang tidak banyak berbeza dengan kanak-kanak normal. Namun demikian, kanak-kanak ini mempunyai masalah dari segi keupayaan mental yang rendah berbanding kanak-kanak normal yang lain. Hal ini terjadi disebabkan oleh faktor-faktor organik dan bentuk badan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran ini juga lebih kecil bentuk badannya daripada kanak-kanak normal.

Seterusnya adalah kanak-kanak ini juga dapat dikenali melalui ciri-ciri intelek mereka. Dalam hal ini, terdapat sedikit kelewatan yang berlaku dalam perkembangan kematangan dan fungsi-fungsi intelek yang tertentu yang diperlukan dalam perkembangan di sekolah. Antara contoh yang dapat diambil adalah, kanak-kanak ini mempunyai daya ingatan yang rendah, kebolehan dalam bidang pengamatan dan pengkonsepan serta kebolehan berbentuk kreatif. Kesediaan belajar dan keupayaan penerimaan pembelajaran bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak sama dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang Bermasalah Pembelajaran ini hanya dapat mempelajari apa yang dipelajari oleh kanak-kanak normal yang berumur 6 tahun pada peringkat umur 8 tahun atau lebih.

Di samping itu, ciri-ciri sosial dan peribadi juga merupakan ciri-ciri bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini. Kanak-kanak sebegini mempunyai masalah iaitu mempunyai bidang perhatian yang singkat atau kurangnya tumpuan terhadap sesuatu. Kanak-kanak ini juga mudah rasa kecewa kerana mempunyai pengalaman kegagalan yang sentiasa berulang-ulang hasil daripada harapan masyarakat yang terlalu tinggi terhadap mereka supaya kanak-kanak ini berfungsi sesuai dengan umur mereka. Sikap dan nilai kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini adalah tidak selaras dengan tingkah laku kanak-kanak normal. Selain itu juga, minat kanak-kanak ini juga adalah sama dengan kanak-kanak yang mempunyai tahap mental yang sama dengan mereka (http://www.spe-ed.net/ld-bp.php).


1.2 Tanda-Tanda Awal Masalah Pembelajaran

Masalah pembelajaran ini biasanya tidak dapat dikesan pada peringkat awal kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda-tanda awal yang dapat digunakan untuk mengenalpasti kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran pada peringkat umur 4 hingga 5 tahun dan peringkat umur 6 hingga 7 tahun. Antara tanda-tanda awal yang dapat dilihat pada diri kanak-kanak yang mempunyai masalah ini adalah seperti berikut :

• Peringkat umur 4 hingga 5 tahun

 Lambat bercakap berbanding kanak-kanak normal yang lain.

 Mempunyai masalah dalam penyebutan.

 Lambat membentuk perbendaharaan kata dan sering gagal dalam menggunakan. perkataan yang betul.

 Sukar dalam mempunyaikan perkataan.

 Sukar memberikan tumpuan dan sentiasa resah gelisah.

 Menghadapi masalah dalam interaksi dengan rakan.

• Peringkat umur 6 hingga 7 tahun

 Lambat belajar atau memahami dalam hubung kait antara abjad dan bunyi.

 Keliru dalam memahami perkataan kata dasar.

 Sering melakukan kesilapan dalam membaca dan mengeja, termasuk keliru dalam bentuk huruf yang hampir serupa.

 Sukar mempelajari kemahiran baru terutamanya yang melibatkan hafalan.

 Sering bersikap kelam kabut dan gagal membuat perancangan.

 Tidak dapat memegang pensel dengan betul.

 Sukar mengingat masa.

 Mengalami masalah dalam koordinasi mata-tangan.

 Kurang menyedari keadaan fizikal di sekeliling dan sering melanggar sesuatu objek.

Berdasar tanda-tanda awal yang dinyatakan di atas, kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran ini dapat dikenalpasti dengan lebih awal untuk ibu bapa dan guru-guru mengambil langkah-langkah yang terbaik dalam menjalankan pemulihan ke atas kanak-kanak ini (Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa 2005:21).


1.3 Faktor-Faktor Berlakunya Masalah Pembelajaran

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya adalah faktor biologi dan faktor psikososial. Faktor biologi merupakan faktor yang menyumbang terjadinya masalah ini. Hal ini disebabkan, faktor-faktor ini merangkumi faktor-faktor baka dan penyakit-penyakit yang menjejaskan fungsi otak dan urat saraf. Selain itu, berlakunya kekurangan oksigen sewaktu kelahiran atau lebih dikenali sebagai asphyxia, lembam lapisan otak atau meningitis dan sawan yang berpanjangan akan menyebabkan disfungsi urat saraf atau neurology dysfunction. Kandungan plumbum yang tinggi di dalam darah seseorang kanak-kanak atau lead poisoning juga boleh menyebabkan berlakunya masalah pembelajaran. Terdapat juga bahan-bahan lain yang telah dikenal pasti sebagai faktor berlakunya Masalah Pembelajaran. Doktor dan ibu bapa juga perlulah peka terhadap perkara ini agar mereka dapat mengurangkan risiko kepada anak-anak supaya kanak-kanak ini tidak mudah terdedah kepada penggunaan bahan -bahan tersebut.

Seterusnya adalah faktor psikologi atau psikososial. Faktor ini terjadi disebabkan oleh pengaruh persekitaran yang tidak sihat, kurang rangsangan, kurang perhatian ibu bapa dan kemiskinan hidup akan menyebabkan kanak-kanak akan mengalami masalah pembelajaran. Setiap kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran ini perlulah diberi rawatan secara teliti dengan menggunakan pendekatan yang berasingan. Terdapat satu kajian yang dikenal pasti dalam mengenal pasti punca-punca kegagalan dalam pelajaran telah dijalankan ke atas kanak-kanak yang terdapat di dalam kelas pemulihan di tiga buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur oleh LPPKN (Lembaga Penduduk dan Perancang Keluarga Negara) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan pada tahun 1986. Antara punca-punca yang telah dikenal pasti adalah seperti kurangnya perhatian yang diberikan oleh ibu bapa dalam soal pelajaran anak-anak, kurangnya motivasi dalam kalangan kanak-kanak itu sendiri serta lambat memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira. Terdapat juga kanak-kanak yang menghadapi masalah lambat menguasai bahasa yang seterusnya menjejaskan proses menguasai kemahiran membaca. Terdapat sesetengah kanak-kanak pula yang menghadapi masalah lemah pengamatan (perceptual weakness) dan lemah daya ingatan. Kurang keyakinan terhadap diri sendiri juga boleh menimbulkan Masalah Pembelajaran. Kanak-kanak yang mempunyai masalah tersebut akan berasa takut dan malu untuk bercakap dan tidak gemar bergaul dengan rakan-rakan sebayanya (http://home.hamidarshat.com/ TENTANG%20KANAK-KANAK.htm).


2.0 Jenis-jenis Masalah Pembelajaran
2.1 Autisme

2.1.1 Definisi

Istilah Autisme berasal daripada perkataan autos yang bermaksud diri sendiri dan isme pula yang bermakna aliran. Hal ini bererti autisme membawa maksud kanak-kanak berada dalam dunianya sendiri. Makna Autisme yang lebih terperinci diperkenalkan oleh Loe Kanner. Pada tahun 1943, Loe Kanner telah mengenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan ciri-ciri autisme. Beliau telah mengkaji 11 orang kanak-kanak dan mengatakan mereka sebagai individu yang tidak berkeupayaan menyesuaikan diri mereka secara normal dengan situasi dan juga orang lain.

Kanner menggunakan istilah autistik yang bermakna ‘lari dari realiti’ untuk menjelaskan keadaan ini. Perkataan autistik dipinjam daripada istilah yang digunakan untuk menjelaskan Schizophrenia yang bermakna ‘mengelak daripada perhubungan’ . Namun, Kanner membezakan Autisme daripada Schiziphorenia dalam tiga aspek iaitu mengasingkan diri secara melampau sejak dari kecil, terlalu sayang kepada sesuatu objek tertentu dan keinginan yang sangat kuat untuk bersendirian.

Oleh sebab itu, autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu. Kanak-kanak autisme juga sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran kordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun tidak, mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, tetapi hanya dapat mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh ataupun berhubung dengan orang lain bahkan mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.

Individu autistik sering dilihat sebagai individu yang unik dari segi tingkah laku, emosi, dan mungkin juga kelebihan luar biasa masalah tingkah laku yang dimilikinya. Selain itu, sebahagian besar masalah tingkah laku juga dikaitkan dengan autisme termasuklah hiperaktiviti, masalah tumpuan singkat, impulsif, agresif, dan tingkah laku yang mencederakan diri sendiri. Namun begitu, individu autistik ini boleh meneruskan kehidupan yang produktif dan menjadi sebahagian daripada keluarga, sekolah dan masyarakat. Kanak-kanak autistik juga turut dapat manfaat daripada intervensi pendidikan dan belajar daripada ibu bapa serta rakan-rakan mereka seperti kanak-kanak berkeperluan khas lain.


2.1.2 Punca-punca Autisme

Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Bayi yang dilahirkan kembar hasil daripada satu telur didapati kemungkinan mengalami gangguan autistik. Selain itu, pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela, toxo, herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing. Bagi kanak-kanak Autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, tumpuan perhatian dan tingkah laku.


2.1.3 Ciri-ciri kanak-kanak Autisme

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kanak-kanak autisme mempunyai berbagai-bagai masalah yang menjadikan mereka individu unik. Menurut Jamila K.A Mohammed (2005) dalam buku Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa, kesemua ciri kanak-kanak autisme digabungkan kepada enam aspek iaitu dalam aspek komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain, tingkah laku, dan emosi. Ciri-ciri kanak-kanak autisme dari aspek komunikasi ialah melibatkan cara kanak-kanak tersebut berhubung dengan orang di sekelilingnya. Contohnya, perkembangan bahasa yang lambat ataupun tidak ada langsung, kelihatan seperti mempunyai masalah pendengaran dan tidak mengendahkan yang dikatakan oleh orang lain, mereka jarang menggunakan bahasa, sukar diajak bercakap, dan kadang-kala tidak dapat menuturkan sesuatu tetapi hanya buat seketika sahaja.

Selain itu, kanak-kanak autisme ini menuturkan perkataan atau jawapan yang tidak sesuai dengan pertanyaan, mengeluarkan bahasa yang tidak difahami, meniru setiap perbualan ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya serta suka menarik tangan orang lain apabila meminta sesuatu. Manakala daripada aspek interaksi sosial pula, mereka dapat digolongkan sebagai kanak-kanak yang mengalami interaksi sosial ekstrem serta sangat sukar. Hal ini dapat dilihat seperti mereka suka bersendirian tanpa gangguan, tidak ada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang orang lain, mereka juga tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan, dan juga suka menjauhkan diri serta duduk di suatu tempat.

Daripada segi aspek gangguan deria membawa maksud bahawa kanak-kanak turut mengalami masalah deria. Misalnya, mereka amat sensitif pada sentuhan, tidak suka dipegang atau dipeluk, lebih-lebih lagi dengan orang yang tidak dikenalinya, sensitif dengan bunyi yang kuat dan akan menutup telinga mereka dan suka mencium dan menjilat mainan atau benda lain. Namun begitu, kanak-kanak ini kurang sensitif pada rasa sakit ataupun takut. Pola bermainnya pula ditunjukkan bahawa mereka tidak suka bermain seperti dengan rakan sebayanya yang lain, tidak bermain mengikut cara biasa tetapi lebih suka memutar-mutar ataupun melambung-lambung dan menyambut mainan atau apa saja yang dipegangnya.

Kanak-kanak autisme juga suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin dan mereka juga akan terus memegang sesuatu yang disukainya, kemudian membawa benda tersebut ke mana-mana sahaja. Di samping itu, ciri-ciri tingkah laku pula boleh dikenal pasti sama ada kanak-kanak ini hiperaktif atau hipoaktif. Pada kebiasaannya mereka lebih suka melakukan perbuatan atau gerakan yang sama dan berulang seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-nepuk tangan, berputar-putar di tempat yang sama, mendekatkan mata ke televisyen, berlari atau berjalan mundar-mandir.

Kanak-kanak ini juga tidak suka pada perubahan (daripada yang dilakukannya) dan dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dengan tanpa sebarang reaksi. Kelakuan-kelakuan seperti ini boleh dikenalpasti dari tingkah laku kanak-kanak autisme. Selain itu juga, kita dapat lihat ciri-ciri autisme dari segi emosi. Emosi kanak-kanak autisme sentiasa berubah-ubah dan sangat sukar diramal sama sekali. Contohnya, mereka sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab, mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya.

Mereka turut merosakkan apa sahaja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu, malah kadang kala boleh mencederakan diri sendiri dan tidak rasa simpati serta tidak memahami perasaan orang lain. Kesemua ciri-ciri ini boleh dilihat dan dipastikan dengan mengenali kanak-kanak autisme dengan lebih mendalam lagi dan ini dapat membantu kita serta kanak-kanak tersebut untuk saling memahami setiap perkembangan dan keperluan kanak-kanak tersebut.

2.1.4 Kesan-kesan

Berdasarkan ciri-ciri yang dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak autisme, beberapa kesan ketara dapat dikenal pasti. Kesan ini terbahagi kepada dua kategori tingkah laku iaitu kesan tingkah laku positif dan kesan tingkah laku negatif. Antara kesan tingkah laku positif yang kita dapat lihat ialah kanak-kanak tersebut mempamerkan tingkah laku positif apabila tidak menghadapi sebarang konflik atau masalah. Contohnya, mereka dapat mengurangkan tingkah laku buruk seperti mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti katanya. Pada kebiasaannya, kanak-kanak tersebut sering gagal dalam memberi tumpuan terhadap kerja sekolah atau sesuatu perkara yang dibuat. Namun, melalui tingkah laku yang positif, mereka dapat menumpukan setiap apa yang dilakukan sebaik mungkin. Pada tahap ini, mereka dapat menyiapkan dan peka terhadap kerja yang telah diberikan oleh guru.

Selain itu, mereka juga boleh berinteraksi dengan baik terhadap orang sekelilingnya yang mana sebelum ini mereka lebih banyak memberi respon yang tidak memuaskan kepada rakan, guru-guru dan orang lain. Kesan positif lain yang dapat dilihat ialah, mereka mampu menyelesaikan tugas mengikut kemampuan diri mereka sendiri. Tingkah laku positif seperti ini biasanya dilakukan tanpa sebarang paksaan dari orang lain malah mereka rasa selesa dan suka dengan apa yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, berbeza pula dengan kesan tingkah laku negatif yang dipamerkan oleh kanak-kanak autisme. Tingkah laku ketara yang dapat dilihat ialah mereka kurang berinteraksi dengan rakan-rakan sebayanya namun lebih banyak menjerit atau merosakkan harta benda orang lain dengan sesuka hati mereka. Bukan itu sahaja, masalah disiplin turut dipamerkan tanpa menghiraukan keadaan keliling. Kanak-kanak ini juga memaparkan tingkah laku negatif sehingga boleh mencederakan diri mereka sendiri.

Berikutan itu, hal ini akan menjadi bertambah buruk sekiranya tiada sebarang halangan dan tindakan dari orang yang bertanggungjawab dan time out pula merupakan cara yang tidak efektif bagi mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak kerana ditinggalkan sendirian. Menyedari hakikat ini, pelbagai langkah dan cara berkesan perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tingkah laku tersebut.


2.1.5 Cara Rawatan

Proses intervensi bagi kanak-kanak autistik bermula sebaik sahaja masalah ini dikesan. Tumpuan intervensi pada peringkat permulaan tertumpu kepada rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku. Rawatan perubatan yang luas digunakan untuk kanak-kanak autistik adalah penggunaan ubatan ritalin untuk merawat masalah kurang tumpuan dan hiperaktif. Selain itu, pengambilan vitamin B6 bersama magnesium juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tumpuan perhatian kanak-kanak autistik.

Pengurusan tingkah laku merangkumi pelbagai strategi dan teknik yang digunakan untuk menambah atau mengekalkan tingkah laku sasaran (positif) dan mengurangkan atau menghapus tingkah laku kurang sesuai. Di antara teknik yang digunakan adalah seperti pengasingan, kelejekan, time-out, shaping, memberi ganjaran, dendaan, dan sebagainya.

Walaupun rawatan perubatan digunakan, namun tidak ada ubat yang dapat menyembuhkan autisme. Namun, program pendidikan yang sesuai dan berstruktur serta pengurusan intervensi semasa awal kanak-kanak lagi boleh memainkan peranan penting dalam membantu mengembangkan fungsi dan potensi mereka pada kemudian hari kelak. Mengenal pasti dan mendiagnosis autisme pada peringkat awal boleh membantu menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang sesuai, intervensi awal juga bermatlamat mengelak kemungkinan penempatan di sekolah khas.

Perkhidmatan intervensi awal sangat penting bagi kanak-kanak autistik untuk membantu mengurangkan masalah autistik yang mereka alami. Selain rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku, perkhidmatan intervensi awal sememangnya dibentuk bagi memenuhi keperluan individu kanak-kanak autistik termasuklah pendidikan terancang. Di Amerika Syarikat amnya, program intervensi dijalankan melalui kerjasama di antara agensi seperti perkhidmatan dan bantuan teknologi, perkhidmatan jururawat sekolah, latihan dan kaunseling ibu bapa, perkhidmatan pemakanan atau nutrisi, program kebudayaan dan kesenian dan sebagainya.

Intervensi awal bagi kanak-kanak autisme bermula dengan pembentukan Individualized Family Services Plan ( IFSP ), yang akan memenuhi keperluan-keperluan dalam bidang kemahiran sosial, kemahiran urus diri, komunikasi, dan pengurusan tingkah laku. Di Malaysia, program intervensi kanak-kanak autisme dilaksanakan melalui program prasekolah. Kanak-kanak autistik yang akan memasuki alam persekolahan akan melalui program prasekolah terlebih dahulu bagi memastikan mereka bersedia untuk ditempatkan dalam Tahun Satu. Di sini, kemahiran urus diri dan pengurusan tingkah laku diutamakan selain pengenalan kepada asas mata pelajaran Bahasa Melayu, Agama, Moral, dan Matematik.

Autisme adalah ketidakupayaan yang tidak dapat disembuhkan. Namun begitu, individu autistik boleh dibantu melalui pendidikan yang terancang yang melibatkan berbagai pihak dan disiplin. Kecelaruan tingkah laku yang ditunjukkan menambahkan lagi keunikan mereka berbanding kategori ketidakupayaan yang lain. Sebab itulah intervensi awal sangat penting bagi kanak-kanak autistik supaya masalah yang mereka hadapi dapat dibetulkan di awal sebelum mereka memasuki alam persekolahan. Justeru, kerjasama di antara ibu bapa dan guru hendaklah sentiasa erat dan saling bantu membantu terutamanya dalam menyediakan maklumat-maklumat berkaitan anak mereka kepada guru supaya program pendidikan yang sesuai dapat dirancang dengan mengambil kira keupayaan dan keperluan anak autistik tersebut.

2.2 Slow Learner

2.2.1 Definisi

Menurut Hallahan dan Kaufman (2006), Akta Pendidikan Individu dengan Keperluan Khas (IDEA-1997, 2004) mendefinisikan Masalah Pembelajaran Khusus kanak-kanak lembam sebagai satu atau lebih kecelaruan pada proses asas psikologikal kanak-kanak yang mengaitkan pemahaman atau penggunaan bahasa (penulisan atau bacaan) yang boleh mengganggu kemahiran mendengar, berfikir, bertutur, membaca, menulis, mengeja dan mengira. Namun begitu, permasalahan ini bukanlah berpunca daripada masalah pendengaran atau penglihatan, masalah motor atau masalah mental.

Masalah pembelajaran khusus kanak-kanak lembam juga didefinisikan sebagai beberapa jenis kecelaruan yang mempunyai ciri-ciri perkembangan yang tidak sempurna seperti perkembangan kemahiran akademik, bahasa dan pertuturan. Kanak-kanak yang diklasifikasikan sebagai bermasalah pembelajaran khusus ini menunjukkan kelemahan didalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta adakalanya mempamerkan masalah atau kecelaruan yang lain seperti masalah tingkah laku dan bersosial.

Melalui definisi dalam Buku Panduan Am KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) menghuraikan maksud pendidikan pemulihan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk kanak-kanak yang menghadapi permasalahan menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Pendidikan pemulihan ini merupakan langkah alternatif untuk membolehkan kanak-kanak ini mencapai kemahiran tersebut, dan setelah tercapai kanak-kanak tersebut boleh menyambung semula proses pembelajaran dalam program biasa.

Kanak-kanak lembam adalah kanak-kanak yang tidak boleh mengikuti pelajaran di kelas atau di sekolah biasa yang mana kanak-kanak ini terlalu lambat untuk mencapai satu-satu objektif pengajaran yang mudah atau objektif jangka pendek dan juga mempunyai daya rangsangan serta daya pengamatan yang rendah.

Ketiga-tiga definisi ini menyatakan bahawa permasalahan yang dihadapi oleh kanak-kanak kategori ini menjurus kepada kepayahan mereka untuk menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira bagi meneruskan proses pembelajaran. Sungguhpun ketidakupayaan mereka ini dikira sebagai minimum berbanding dengan kanak-kanak berkeperluan khas yang lain, mereka masih lagi perlu kepada bimbingan dan kaedah khas untuk membolehkan mereka mencapai potensi sebenar mereka. Adakalanya pihak ibu bapa sendiri tidak mahu anak mereka dilabel sebagai kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas. Namun begitu, dengan mengenal pasti ketidakupayaan mereka, seterusnya akan membolehkan mereka menerima bimbingan yang sepatutnya dan sebagai satu intervensi awal ke arah mereka mencapai matlamat di dalam proses pendidikan.


2.2.2 Ciri-ciri


• Ciri-ciri Kognitif

Keupayaan intelektual bagi kanak-kanak masalah pembelajaran khususnya kanak-kanak lembam menunjukkan mereka berada di tahap sederhana atau melebihi tahap sederhana, iaitu IQ mereka pada tahap 85 atau lebih di dalam skor ujian saringan kecerdasan (Messe, 2001). Hal ini menunjukkan IQ mereka melebihi kanak-kanak yang menghadapi masalah mental yang biasanya skor IQ mereka berada di bawah 70-75. namun begitu, mereka didapati mengalami kesusahan dalam menguasai kemahiran seperti membaca, menulis dan mengira.

Seterusnya, ciri kognitif kanak-kanak ini ialah kebolehan IQ (IQ achievement) mereka. Ujian kebolehan kanak-kanak masalah pembelajaran khusus melalui skor IQ boleh membantu guru-guru mengetahui kebolehan kanak-kanak tersebut disebabkan skor IQ selalunya berhubung kait dengan pencapaian akademik kanak-kanak ini. Namun terdapat percanggahan pendapat antara para pendidik barat tentang penggunaan skor ujian saringan kognitif ini sebagai pengukur keseluruhan kebolehan kanak-kanak. Contohnya tidak semua ujian saringan ini mengukur kebolehan seperti membaca, linguistik, matematik-logikal, kebolehan musikal dengan tepat. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa kanak-kanak ini boleh diberi skor yang rendah berbanding skor sebenar mereka. Guru-guru harus menggunakan skor-skor ini sebagai panduan sahaja, bukan sebagai satu garis-ukur yang muktamad.

Kanak-kanak masalah pembelajaran khusus iaitu kanak-kanak lembam mengalami kepayahan untuk memberi perhatian, mengumpul atau memproses maklumat yang diterima di dalam ingatan mereka. Sungguhpun tahap kepayahan ini adalah berbeza antara kanak-kanak lembam ini, secara keseluruhannya akan menyebabkan kesukaran mereka menguasai kemahiran-kemahiran di dalam proses pembelajaran.

Kanak-kanak ini juga sering mempamerkan kesukaran untuk memberi fokus atau perhatian kepada proses pembelajaran di dalam kelas. Mereka mudah hilang tumpuan, mudah membuat kesalahan disebabkan kecuaian (careless mistakes), kepayahan menyiapkan tugasan, kepayahan melakukan beberapa turutan tugas (difficulties doing more than one tasks) dan berkemungkinan akan menunjukkan tingkah laku yang sering mengganggu rakan sekelas (frequently interrupts others).

Kanak-kanak lembam ini berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk memproses maklumat. Pemprosesan maklumat adalah aktiviti mental manusia yang berkaitan dengan menerima, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat. Proses ini juga membolehkan manusia menyimpan maklumat secara ingatan jangka pendek (short-term memory) dan ingatan jangka panjang atau kekal (long-term memory). Kesukaran memproses maklumat ini dapat dikesan pada kanak-kanak ini.

• Ciri-ciri Akademik

Kesukaran dalam menguasai kemahiran akademik adalah satu ciri yang ada pada hampir setiap kanak-kanak lembam. Di antara kemahiran 3M iaitu kesukaran membaca adalah amat ketara (Hallahan & Kaufman, 2006). Kesukaran menguasai 3M, juga mengatasi masalah-masalah lain seperti masalah tingkah laku atau interaksi sosial. Kepayahan di dalam penguasaan kemahiran membaca ini sudah tentu akan menyebabkan kesukaran menguasai kemahiran lain dalam perkembangan keseluruhan akademik kanak-kanak ini.

Dalam menguasai kemahiran matematik pula, kanak-kanak lembam memperlihatkan kesukaran seperti untuk mengingat makna kepada simbol-simbol yang digunakan atau menyelesaikan permasalahan matematik yang panjang dan menggunakan beberapa konsep seperti campur, tolak atau bahagi. Kesukaran mengingat semula turutan dalam proses penyelesaian matematik sering dialami oleh kanak-kanak ini.

• Ciri-ciri Sosial-Emosi
Kanak-kanak lembam juga mengalami masalah di dalam aspek sosial. Sungguhpun masalah ini tidak ketara seperti kesukaran untuk menguasai kemahiran 3M, kesukaran di dalam aspek sosial boleh menyebabkan permasalahan kepada mereka ini bertambah kompleks. Ciri-ciri yang sedia ada seperti kurang tumpuan, kesukaran memproses maklumat, kecuaian, kepayahan menyiapkan tugasan, kepayahan melakukan beberapa turutan tugas sudah tentunya menyebabkan kanak-kanak ini lebih cenderung mengalami masalah sosial-emosi. Kanak-kanak ini memerlukan perhatian yang lebih daripada guru-guru dalam memberikan pendidikan yang baik kepada mereka.

2.2.3 Punca-punca yang membawa kepada slow learner

• Baka

Baka atau genetik merupakan antara faktor penyebab mendapat anak yang bermasalah seperti Slow Learner, Autisme, Down Sindrom dan masalah pembelajaran yang lain. Masalah baka antara faktor utama kerana genetik yang mempunyai masalah ini akan diwarisi oleh keturunan atau generasi yang seterusnya.

• Intelek yang rendah

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (Slow Learner) mempunyai keupayaan intelek yang rendah dan IQ mereka antara 80-90. Hal ini bermakna kanak-kanak Slow Learner menghadapi masalah dalam pembelajaran berbanding rakan mereka yang normal. Keupayaan dalam menguasai 3M adalah amat sukar jika mereka tidak dibantu oleh guru-guru pendidikan khas.

• Masalah emosi

Gangguan emosi boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak itu tidak maju di dalam pelajarannya. Terdapat juga kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran kerana gangguan-gangguan seperti sakit perut, sakit kepala dan sebagainya yang berpunca daripada gangguan emosinya. Kanak -kanak yang mengalami gangguan emosi perlulah dikenal pasti supaya boleh diberi kaunseling untuk membantunya mengatasi masalah emosinya.

• Kekecewaan

Kekecewaan yang dialami oleh kanak-kanak ini mungkin disebabkan oleh masalah keluarga atau masalah dalaman diri kanak-kanak itu sendiri. Masalah dalam rumahtangga yang akhirnya memberikan kekecewaan kepada kanak-kanak ini seperti berlaku penceraian antara ibu bapa kanak-kanak tersebut. Kesannya adalah kanak-kanak ini tidak dapat memberi perhatian dan tumpuan dalam pelajaran mereka hingga mereka di kategorikan sebagai kanak-kanak Slow Learner.

• Ubat semasa mengandung.

Pengambilan ubat yang salah ketika mengandung adalah sangat merbahaya kerana ia akan memberi kesan kepada kandungan ibu. Semasa ibu mengandung perlu dielakkan mengambil ubat yang salah. Sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan, ibu-ibu mengandung perlulah mendapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Pengambilan ubat yang salah ketika mengandung akan memberi kesan terjadinya anak-anak yang bermasalah seperti Slow Learner, Down Sindrom dan lain-lain masalah.

2.2.4 Kesan
• Murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran Slow Learner akan ketinggalan daripada kawan-kawan yang normal.

• Mereka tidak dapat menguasai kaedah membaca, menulis dan mengira (3M).

• Masalah yang berpunca daripada ibubapa juga akan memberi kesan kepada anak-anak ini contoh seperti pergaduhan dalam rumahtangga, sikap lepas tangan kepada guru-guru semata-mata dan sebagainya adalah penyebab berlakunya masalah pembelajaran anak-anak yang dipanggil Slow Learner.

2.2.5 Cara mengatasi

Menurut Ahmad Fathir, sesi latihan yang lebih efektif bersama ibu bapa dapat memberi sokongan kepada anak-anak ini mengulangi latihannya di rumah, serta memberi maklum balas kepada ahli terapi mengenai perkembangan anak. Teknik terapi yang boleh dilakukan untuk kanak-kanak berumur dua tahun ke atas adalah:

i. Pembelajaran

Cara untuk memperbaiki lemah tumpuan, gelisah, lambat dan lembab, tidak teratur dan tidak kemas, tumpuan amat sedikit, hiperaktif, tidak boleh mengikut arahan dan sebagainya.

ii. Kognitif dan konsep asas

Membantu mereka yang menghadapi pemikiran yang lemah, tidak boleh menerima, memahami dan mengikut arahan. Masalah mengenal asas warna, bentuk, keadaan, benda, tempat, rasa, nombor, huruf dan lain-lain.

iii. Psikososial

Mengatasi masalah sosial dan berinteraksi sesama sendiri seperti di dalam rumah, di sekolah dan komuniti.

2.3 Spina Bifida

2.3.1 Definisi

Spina Bifida dalam bahasa Latin bermaksud tulang belakang terpisah. Keadaan ini adalah salah satu kecacatan sejak lahir yang mana kecacatan ini berlaku di tiub neural. Kecacatan ini berlaku di sebahagian atau keseluruhan tulang belakang yang tidak bersambung dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang terdedah. Keadaan ini boleh terjadi di awal kandungan, iaitu seawal bulan pertama kandungan. Hal ini berlaku di bahagian bawah tulang belakang dan jarang berlaku di bahagian atas. Ada juga keadaan berlaku di mana, kadang-kadang sebahagian dari otak juga turut terdedah.

2.3.2 Jenis-Jenis Spina Bifida

Spina bifida terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu Spina Bifida Occulta, Spina Bifida Cystica (Myelomeningocele), dan Meningocele. Kebanyakkan kecacatan ini berlaku di bahagian lumbar dan sakrum saraf tunjang. Myelomeningocele adalah bentuk kecacatan yang penting, di mana boleh membawa kepada kecacatan atau ketidakupayaan seseorang individu itu. Kecacatan Spina Bifida boleh diatasi dengan melakukan pembedahan selepas lahir, namun keadaan ini tidak dapat memulihkan fungsi saraf tunjang dengan sempurna dan individu yang berada dalam keadaan ini akan mengalami gangguan pada saraf tunjang serta saraf-saraf yang berkaitan.

Occulta dalam bahasa Latin bermaksud tersembunyi. Spina Bifida Occulta adalah kecacatan yang ringan dan boleh berubah bergantung pada keadaan kecederaan yang dialami. Kecacatan ini berlaku apabila pemisahan dalam tulang belakang adalah kecil di mana saraf tunjangnya adalah normal dan tidak tertonjol keluar serta hanya sebahagian kecil tulang sahaja yang tidak bertaut. Lapisan kulit yang menutupi kecacatan ini juga adalah normal. Kulit pada bahagian tersebut boleh menjadi normal atau mungkin terdapat rambut yang tumbuh di situ atau dianggap sebagai lesung pipit juga boleh menjadi tanda lahir. Individu yang mengalami Spina Bifida Occulta kebanyakkannya tidak menyedari bahawa mereka mengalami kecacatan jenis ini atau tidak mendapat tanda-tanda bahawa mereka menghidap penyakit ini. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa Spina Bifida Occulta tidak semuanya tidak berbahaya.

Meningocele adalah kecacatan yang berlaku di mana bahagian luar tulang belakang terpisah tetapi saraf tunjang adalah sempurna atau normal dan hanya tulang belakang yang melindungi saraf tunjang sahaja yang rosak seterusnya tertonjol keluar. Meningocele juga merangkumi meninges iaitu membran yang meliputi sistem saraf utama yang bertanggungjawab untuk menutup dan melindungi otak dan saraf tunjang. Meninges terdiri daripada tiga lapisan iaitu dura mater, arachnoid mater, dan pia mater. Tugas utama meninges adalah melindungi struktur saraf yang halus, yang membawa pembuluh darah dan sejenis cecair serebrospinal yang melindungi sistem saraf utama.

Dura mater merupakan lapisan paling luar yang padat dan keras berasal dari jaringan tebal dan kuat. Manakala arachnoid mater merupakan selaput halus yang memisahkan pia mater dan dura mater. Pia mater pula adalah yang menyelipkan dirinya ke dalam celah pada otak dan sumsum tulang belakang dan sebagai akibat dari kontak yang sangat erat akan menyediakan darah untuk struktur-struktur ini.

Spina Bifida yang terakhir dikenali sebagai Meningomyelocoele. Meningomyelocoele adalah kecacatan disebabkan bahagian luar tulang belakang yang terpisah dan saraf tunjang serta meninges rosak dan terjulur keluar. Kebanyakkan bayi yang dilahirkan dalam jenis Spina Bifida Meningomyelocole juga menghadapi atau berisiko mendapat penyakit hidrosefalus.

Hidrosefalus adalah kecacatan yang disebabkan oleh penambahan jumlah cecair serebrospina (CSF) yang abnormal di dalam ventrikel-ventrikel otak. Cecair ini sebenarnya melindungi, memberi khasiat dan membersihkan otak serta saraf tunjang. Cecair tersebut dihasilkan setiap hari di dalam ventrikel otak. Ketidakseimbangan berlaku apabila CSF berkumpul dan tidak dapat mengalir dengan biasa melalui ventrikel dan sistem saraf disebabkan berlakunya sesuatu halangan. CSF yang berlebihan ini boleh menghasilkan tekanan di dalam otak bayi dan mungkin boleh menghasilkan kerosakan pada otak, juga masalah mental dan fizikal. Walau bagaimanapun, rawatan awal boleh mengatasi masalah serius daripada berlaku dan bayi boleh membesar secara normal.

Selain itu juga, kesan pertumbuhan yang tidak sempurna yang disebabkan oleh kerosakan pada saraf tunjang dan bayi yang mengalami Meningomyeloceole boleh menjadi lumpuh. Kebarangkalian untuk menjadi lumpuh adalah besar. Selain itu, kanak-kanak yang mengalami Spina Bifida juga mempunyai masalah dengan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau masalah pembelajaran yang lain. Kira-kira sebanyak 85 peratus kecacatan berlaku di bahagian bawah tulang belakang. Manakala sebanyak 15 peratus kecacatan berlaku di bahagian belakang leher atau bahagian atas tulang belakang.


2.3.3 Punca-Punca Berlakunya Spina Bifida

Spina Bifida ialah jenis kecacatan yang berlaku pada tiub neural. Kecacatan tiub neural termasuklah Spina Bifida (tulang belakang terpisah) dan Anencephaly (tengkorak kepala terbuka), yang berlaku dalam satu atau dua dalam seribu kelahiran. Tiub neural boleh didefinisi sebagai struktur tiub dorsal dalam embrio vertebrata yang tumbuh dalam otak dan saraf tunjang. Pada awal kandungan, otak manusia dan tulang belakang bermula seperti plat-plat sel yang rata, di mana bergulung dalam tiub yang dikenali sebagai tiub neural. Sekiranya semua bahagian tiub neural gagal untuk bercantum, iaitu terbuka atau terpisah, ini dikenali sebagai kecacatan tiub neural yang terpisah atau Open Neural Tube Defect (ONTD). Anecephaly dan Spina Bifida adalah antara jenis ONTD. Anencephaly terjadi apabila tiub neural gagal untuk bercantum di bawah tengkorak, manakala Spina Bifida terjadi apabila tiub neural gagal untuk bercantum di sepanjang tulang belakang.

Antara sebab-sebab berlakunya Spina Bifida ialah kekurangan pengambilan vitamin. Vitamin penting bagi pertumbuhan sel dan janin yang sempurna. Kekurangan vitamin ketika hamil akan memberi banyak kesan kepada janin dalam kandungan. Oleh itu, pengambilan asid folik misalnya amat penting kepada wanita hamil dan yang merancang kehamilan. Asid folik adalah vitamin B (B9) yang penting bagi pertumbuhan sel dan janin yang sempurna. Asid folik boleh diperoleh daripada pil yang dibekalkan oleh doktor dan dalam sayur-sayuran. Contohnya, dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam, selain buah sitrus dan bijirin. Pelbagai kajian menunjukkan wanita yang mengambil 400 microgram (0.4 miligram) setiap hari sebulan sebelum hamil dan tiga bulan pertama kehamilan berupaya mengurangkan risiko terhadap kerosakan tiub saraf sehingga 70 peratus. Pengambilan asid folik adalah perlu namun, perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor untuk pengambilan asid folik dan apa-apa penambahan makanan dan vitamin.

Selain itu juga, Spina Bifida terjadi kerana kebanyakkan wanita tidak merancang kehamilan. Selalunya, seseorang wanita itu hanya menyedari dia hamil selepas kandungannya berusia antara enam hingga tujuh minggu. Sedangkan ketika itu, kebanyakkan organ sudah mula terbentuk. Oleh itu, merancang kehamilan sangat penting kerana dapat melengkapkan diri dengan bekalan asid folik yang diperlukan. Pengambilan asid folik yang banyak tidak menjadi racun tetapi pengambilan yang kurang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi.

Terdapat juga kes lain di mana wanita hamil yang bayinya mengalami kecacatan seperti Anencephaly disebabkan oleh kekurangan asid folik dinasihatkan menggugurkan janin pada awal kehamilan. Bagaimanapun, bagi bayi yang mengalami Spina Bifida yang disebabkan oleh beberapa keabnormalan lain yang serius, kandungan tersebut mungkin juga akan gugur dengan sendirinya. Tetapi jika tidak begitu serius, bayi tersebut akan lahir seperti bayi yang lain. Namun, peluang untuk memiliki hidup yang normal bergantung kepada serius mana kecacatan tulang belakang yang dialami. Wanita yang pernah mengalami kandungan bermasalah seperti ini digalakkan mengambil lebih asid folik.

Bagaimanapun, kekurangan pengambilan asid folik bukan satu-satunya faktor terjadinya kecacatan ini. Terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi kecacatan ini antaranya ialah faktor persekitaran. Faktor persekitaran boleh menyumbang kepada kecacatan Spina Bifida. Persekitaran yang tidak sihat seperti ibu yang hamil menghisap rokok, mengambil minuman beralkohol serta diabetis. Apabila janin mengalami Spina Bifida, ia boleh dikesan seawal 12 minggu kehamilan. Menerusi imbasan, bakal ibu boleh melihat pembentukan tulang belakang janin. Ada bayi yang lahir dengan masalah Spina Bifida yang tidak serius, peluang untuk hidup normal adalah cerah tetapi bayi yang mengalami Spina Bifida yang teruk, akan lumpuh dan tidak berupaya mengawal pundi kencing.

2.3.4 Ciri-Ciri Spina Bifida

Kecacatan Spina Bifida boleh dikenalpasti apabila kelihatan benjolan di bahagian belakang. Kecacatan tersebut adalah disebabkan penonjolan saraf tunjang atau meninges melalui ruang pembukaan di tulang belakang.

Selain itu, Spina Bifida juga boleh terjadi disebabkan saiz kepala yang besar atau ukuran lilit kepala membesar seperti sebahagian kes Meningomyelocele. Kecacatan ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan di antara CSF (cecair serebrospina) yang dihasilkan di dalam otak dan kebolehannya untuk diserap kembali. CSF yang berlebihan boleh menghasilkan tekanan di dalam otak bayi dan mungkin boleh menghasilkan kerosakan pada otak, juga menyebabkan masalah mental dan fizikal. Hampir 80 hingga 90 peratus bayi yang lahir dengan keadaan kecacatan tiub neural berisiko menghidapi hidrosefalus.

Hidrosefalus Kongenital iaitu kecacatan bawaan atau wujud sejak lahir. Antara punca wujudnya kecacatan ini ialah Aqueductal Obstruction atau stenosis iaitu penyempitan abnormal suatu laluan atau bukaan, yang mana paling kerap terjadi. Selain itu, Akueduk Serebrum yang membawa CSF daripada ventrikel tiga ke empat tersumbat menyebabkan CSF berkumpul dan menyebabkan hidrosefalus. Halangan ini mungkin disebabkan kecacatan, jangkitan, pendarahan atau ketumbuhan. Manakala, bagi kes Spina Bifida Occulta, perubahan warna kulit, lekok, ketulan tisu lemak yang lembut atau rerambut yang tumbuh di bahagian belakang akan dapat dilihat.

Sebahagian dari ciri ini dapat dikesan pada peringkat awal. Antara tanda-tanda kecacatan Spina Bifida yang dialami oleh bayi atau individu lain adalah seperti sakit di bahagian bawah belakang. Selain itu, sistem usus dan pundi kencing yang tidak berfungsi, bahagian anggota kaki lemah atau lumpuh. Selain itu, kecacatan Spina Bifida juga menyebabkan hilangnya deria rasa dibahagian yang terlibat serta pembelajaran yang lemah.

Namun, kadang kala tiada gejala yang ditunjukkan. Kecacatan ini hanya dapat dikesan semasa pengimejan (x-ray) dilakukan untuk masalah kesihatan yang lain. Masalah ini juga boleh dikesan semasa mengandung melalui ultrasonography, MRI dan pengukuran alpha feoto protein (AFP).

Komplikasi Spina Bifida selalunya berlaku disebabkan oleh kerosakkan pada saraf tunjang atau hujung saraf yang terkeluar dari saraf tunjang. Masalah ini akan mengakibatkan pesakit Spina Bifida mengalami sakit belakang, tidak boleh mengawal buang air kecil dan retansi urin serta tidak boleh mengawal buang air besar dan sembelit. Selain itu, pesakit Spina Bifida juga mengalami masalah lemah atau kelumpuhan pada bahagian kaki serta hilang deria rasa dibahagian yang terlibat, yang mana menyebabkan kecederaan, kudis, tekanan atau kelecuran di kulit.

Spina Bifida selalunya berkaitan dengan hidrosefalus dalam 70 peratus kes. Otak dan saraf tunjang dialirkan dan dibekalkan dengan nutrisi oleh cecair serebrospinal. Dalam Spina Bifida, pengaliran cecair serebrospinal tersekat menyebabkan pengumpulan cecair ini di dalam otak. Keadaan ini berbahaya kerana cecair yang terkumpul akan meningkatkan tekanan dan akan menyebabkan kerosakan pada otak.

Selain itu, komplikasi akibat daripada kecacatan Spina Bifida ini adalah berlakunya jangkitan. Meningitis adalah jangkitan yang berlaku pada selaput yang menyaluti tisu saraf. Jangkitan di salur air kencing melibatkan pundi kencing dan atas buah pinggang, iaitu retensi air kencing akan menyebabkan pengalirannya berbalik ke buah pinggang semula. Di samping itu, berlaku juga masalah tulang seperti scoliosos (bongkok), telepis (club foot) atau terkehel tulang pinggul.


2.3.5 Rawatan Untuk Mengurangkan Kecacatan Spina Bifida.

Spina Bifida boleh diatasi dengan melakukan pembedahan dan rawatan sokongan yang berterusan. Sekiranya seorang bayi dilahirkan dengan kecacatan yang terbuka, pembedahan boleh dilakukan dengan secepat mungkin dengan saraf tunjang dan meninges yang terkeluar akan dimasukkan ke tempatnya dengan berhati-hati. Tujuan pembedahan itu dilakukan adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengekalkan fungsi saraf tunjang. Pembedahan semula mungkin diperlukan apabila kanak-kanak membesar. Hal ini adalah disebabkan saraf tunjang dan tulang belakang membesar pada kadar yang berbeza dan boleh menyebabkan tisu saraf terperangkap.

Sekiranya mengalami hidrosefalus, shunt mungkin diperlukan untuk mengalirkan cecair yang berlebihan dari otak ke abdomen. Shunt ialah tiub khas yang dimasukkan ke otak (sistem ventrikel) dan mengalihkan pengaliran cecair serebrospinal ke bahagian lain badan seperti jantung dan kaviti peritoneal. Shunt diperbuat daripada plastik khas yang lembut dan mudah dilenturkan. Rawatan shunt ini hanya dilakukan oleh pakar bedah otak dan kebiasannya tidak mengambil masa yang lama. Pesakit dibawa ke bilik bedah dan diberi bius sepenuhnya. Kulit kepala dan bahagian abdomen akan dicuci dengan antiseptik. Selain itu, torehan kecil di kulit kepala dilakukan dan ini diikuti dengan tebukan lubang kecil di tengkorak. Pembedahan yang sama juga akan dilakukan di abdomen. Satu lubang kecil akan ditebuk. Satu hujung shunt akan dimasukkan ke ventrikel melalui lubang kecil di tengkorak. Kemudiannya shunt akan ditolak dan dimasukkan dibawah kulit sehingga ke lubang diabdomen di mana hujung shunt akan ditempatkan di ruang peritoneal.

Namun terdapat komplikasi dalam kaedah shunt. Antaranya, shunt mungkin tidak berfungsi kerana tersumbat disebabkan oleh darah beku. Selain itu, jangkitan kuman berlaku pada satu hingga tiga bulan selepas pembedahan dan kadang kala sehingga enam bulan. Apabila berlakunya jangkitan kuman, rawatan segera mesti dilakukan untuk mengelak kecederaan otak yang kekal. Di samping itu, terdapat juga beberapa komplikasi, antaranya adalah kegagalan mekanikal disebabkan injap tidak berfungsi dan pengaliran cecair serebrospinal yang terlalu cepat atau perlahan.

Oleh itu, penebukkan Lubang Ventrikel Ketiga Secara Endoskopic diperkenalkan. Kaedah ini merupakan teknik pembedahan terbaru dalam rawatan hidrosefalus. Keadaan ini melibatkan penebukan lantai ventrikel ketiga untuk membolehkan cecair serebrospinal dialirkan terus ke cisterna asas (basal cistern). Rawatan ini sesuai untuk hidrosefalus jenis tidak berhubung (non communicating). Walau bagaimanapun, ada sesetengah pakar bedah otak yang menggunakan rawatan ini ke atas pesakit hidosefalus yang berhubung (communicating hydrocephalus) dengan jayanya. Satu lubang kecil dibuat ditengkorak dan pakar bedah akan memasukkan kamera kecil ke dalam ventrikel dan alat khas akan digunakan untuk menebuk lantai ventrikel ketiga.


2.3.6 Langkah Pencegahan

Kecacatan Spina Bifida boleh diatasi dengan memberi asid folik tambahan. Dos asid folik yang disyorkan adalah 0.4mg sehari dan perlu diambil sebulan sebelum mengandung dan seterusnya pada 3 bulan pertama mengandung untuk memberi kesan yang baik. Hal ini disebabkan kebanyakkan kehamilan tidak dirancang, semua wanita dalam usia reproduktif dinasihatkan untuk mengambil penambahan asid folik.

Selain itu, sekiranya seseorang itu berada dalam kumpulan berisiko iaitu anak terdahulu, atau saudara rapat mengalami Spina Bifida ataupun yang mengambil ubat sawan, maka perlu mengambil dos yang tinggi lebih kurang 4mg sehari.

Selain itu, perlulah berjumpa dengan kaunseling genetik untuk mengetahui risiko jika tidak mengambil asid folik tambahan. Hal ini disebabkan, selepas mempunyai seorang anak yang menghidapi Spina Bifida, kehamilan seterusnya boleh mendapat masalah yang sama adalah 3 hingga 4 peratus. Manakala, selepas mempunyai 2 orang anak Spina Bifida, 10 peratus kehamilan seterusnya boleh dan berisiko mendapat anak yang mempunyai masalah yang sama. Risiko akan bertambah tingi sekiranya keluarga juga mempunyai sejarah Spina Bifida. Oleh itu, untuk kehamilan seterusnya individu tersebut perlu mendapat runding cara dengan doktor pakar yang berkaitan.


2.4 Cerebral Palsy

2.4.1 Definisi Cerebral Palsy

Istilah cerebral merujuk kepada otak manakala palsy pula bermaksud gangguan terhadap pergerakan atau postur. Orang yang mengalami Cerebral Palsy bermaksud mereka tidak dapat menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal, diakibatkan oleh kerosakan dalam otak. Cerebral Palsy juga lebih dikenali sebagai spastik.

Kebiasaannya, kerosakan ini berlaku sebelum, semasa ataupun selepas kelahiran disebabkan oleh otak yang tidak berkembang dengan baik ataupun berlaku perkara yang membawa kepada kerosakan otak yang sedang berkembang seperti kecederaan ataupun kekurangan oksigen, pendarahan di dalam otak ataupun jangkitan boleh menyebabkan berlakunya Cerebral Palsy. Ada kalanya kanak-kanak yang dilahirkan normal tetapi mengalami jangkitan dalam otak ataupun trauma turut boleh membawa kepada Cerebral Palsy. Keadaan ini menjejaskan tona otak iaitu tahap ketegangan otot yang mengganggu pergerakan spontan dan melambatkan perkembangan motor kasar dan motor halus.

Menurut Jamila K.A Mohamed (2005), Cerebral Palsy bukan perkara yang dapat diubati walaupun pendidikan, terapi dan teknologi dapat membantu individu yang mengalaminya menjalani kehidupan yang produktif. Walaupun begitu, perlu diketahui Cerebral Palsy bukan satu jenis penyakit, malah ia tidak berjangkit dan tidak menjadi lebih teruk. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan Cerebral Palsy terus mengalaminya sepanjang hayat mereka.

Kelumpuhan yang berlaku terhadap kanak-kanak yang mengalami Cerebral Palsy bukan sahaja menyebabkan masalah pergerakan tetapi juga melibatkan semua anggota berkaitan dengannya. Akibat yang paling ketara adalah seperti gaya berjalan yang kekok, kekurangan perimbangan, pertuturan yang kurang sempurna, wajah berkerut, persepsi yang kurang tepat, terencat akal, cacat penglihatan dan cacat pendengaran. Tahap kecacatan berbeza daripada seorang kanak-kanak Cerebral Palsy dengan seorang yang lain. Terdapat mereka yang mengalami Cerebral Palsy ringan sehingga hampir tidak dapat dikesan kecacatannya dan yang paling teruk pula menghadapi masalah berjalan, pergerakan tangan, pendengaran dan pertuturan yang sangat ketara.


2.4.2 Jenis-jenis Cerebral Palsy

Terdapat empat jenis Cerebral Palsy iaitu Cerebral Palsy Spastic, Cerebral Palsy Athetoid, Cerebral Palsy Ataxia dan Cerebral Palsy Gabungan. Cerebral Palsy Spastic biasanya berlaku disebabkan satu atau beberapa kumpulan otot badan yang terlalu menegang. Ketegangan ini menyebabkan pergerakan-pergerakan anggota badan terhad atau tidak berkordinasi. Selain itu, turut disebabkan oleh kerosakan pada bahagian kortens motor yang boleh mengakibatkan kehilangan kawalan pada otot-otot yang boleh dikawal. Apabila seseorang penghidap cerebral palsy bergerak, pergerakan permulaannya seakan-akan tersekat dan diikuti dengan satu lonjakan tenaga yang menyebabkan pergerakan kurang terkawal. Mereka mungkin juga tidak dapat menggenggam benda dengan jari dan apabila cuba mengawal gerakan, gerakan akan lebih tersentak-sentak. Jika penghidap yang boleh berjalan, gaya berjalannya adalah seperti gunting, berdiri atas jari kaki dengan lutut bengkok dan menuju ke bahagian dalam.

Cerebral Palsy Athetoid menyebabkan pergerakan penghidapnya lebih meliuk, luar biasa dan tidak terkawal. Turut diakibatkan oleh kerosakan pada bahagian basal ganglion yang mengakibatkan pergerakan perlahan dan tidak dapat dikawal. Sasaran utama ialah muka, bahu, kaki, tangan dan lengan. Jika otot-otot tekak dan diapragma terlibat, ini akan menyebabkan masalah pertuturan dan pengeluaran air liur. Apabila seorang penghidap Cerebral Palsy Athetoid hendak mengambil sesuatu benda, tangannya akan meliuk ke hadapan dan ke belakang, membengkok, dan kemudian akan melurus dalam satu pergerakan ke hadapan yang amat perlahan ke arah benda yang hendak dicapai itu.

Seseorang penghidap Cerebral Palsy Ataxic atau Ataxia mempunyai imbangan anggota badan dan keseimbangan badan yang tidak baik di samping pergerakan anggota badan yang tidak berkordinasi. Hal ini disebabkan kerosakan pada bahagian serebrum otak yang menyebabkan kesulitan mengawal imbangan badan. Pergerakan menjadi kekok dan teragak-agak, pertuturan kurang jelas dan bermasalah pendengaran. Mereka yang menghidap masalah ini, berjalan seakan-akan berada diatas dek sebuah kapal yang sedang dipukul gelombang. Kelihatan seperti pening semasa berjalan serta pergerakan yang tidak stabil dan mungkin akan jatuh jika tidak disokong.

Cerebral Palsy gabungan adalah satu keadaan di mana seorang itu menghidap lebih daripada satu jenis Cerebral Palsy pada satu-satu masa. Gabungan kecacatan Cerebral Palsy yang lain adalah ketegangan otot yang istimewa seperti Dystonia, Hypertonia, kekejangan dan Tremor.

Cerebral Palsy juga sering diklasifikasikan mengikut anggota badan (kaki atau tangan) yang menghidap palsy itu. Klasifikasi Cerebral Palsy adalah seperti: i) Monoplegia adalah apabila hanya satu daripada tangan kiri atau kanan yang lumpuh, ii) Hemiplegia adalah apabila kedua-dua kaki dan tangan sebelah kiri atau kanan yang kelumpuhan, iii) Diplegia adalah dimana kelumpuhan kaki lebih serius berbanding kelumpuhan tangan, iv) Paraplegia iaitu dimana hanya kaki yang mengalami palsy dan v) Quadriplegia iaitu kesemua kaki dan tangan bermasalah palsy.


2.4.3 Faktor-faktor penyebab

Faktor-faktor yang menyebabkan Cerebral Palsy boleh dibahagikan kepada empat iaitu semasa mengandung (pra natal), semasa kelahiran, selepas kelahiran (post natal) dan faktor-faktor lain.

• Semasa mengandung

Tempoh yang paling penting dalam perkembangan embrio, pertumbuhan tisu dan organ iaitu berlakunya pembahagian sel yang aktif. Waktu ini juga merupakan tempoh genting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak dan berlanjutan sehingga semasa bayi. Di peringkat fetus, otak dan urat saraf mula berkembang, seterusnya apabila semakin besar fetus maka makin kompleks sistem gerak kerja mental seseorang. Walaupun embrio dilindungi dengan baik di dalam uterus, teratogen masih boleh menyebabkan masalah dalam perkembangan tisu dan organ. Teratogen ialah bahan-bahan persekitaran yang menyebabkan kod-kod genetik berubah dan menyebabkan keabnormalan. Hal ini seperti suntikan rubella yang boleh menyebabkan buta, pekak dan kerencatan mental kepada kanak-kanak. Tempoh lapan minggu yang pertama merupakan satu masa yang paling kritikal bagi bayi di dalam kandungan. Oleh sebab itu tempoh perkembangan awal ini adalah tempoh yang paling sensitif dan kritikal. Sedikit sahaja gangguan yang berlaku boleh mengakibatkan kecacatan fisiologi, keabnormalan marfologi dan gangguan fungsi yang akhirnya akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak dari segi fizikal, mental, sosial, bahasa dan sahsiah.

• Semasa kelahiran

Proses kelahiran yang terlalu lama dan pendarahan yang keterlaluan boleh menyebabkan terputusnya bekalan oksigen ke otak bayi. Kesukaran kelahiran akibat kelahiran luar biasa seperti songsang akan memberi kesan kepada bayi. Anoxia iaitu keadaan dimana tali pusat bayi terbelit dileher akan memutuskan bekalan oksigen ke otak bayi.

• Selepas kelahiran (Post Natal)

Jangkitan virus selepas bayi lahir menyebabkan organisma mengganggu membran yang mengawal otak dan saraf tunjang. Jangkitan ini menyebabkan demam panas yang tinggi hingga mengakibatkan sawan atau pergerakan di luar kawalan, lumpuh, pening kepala dan koma.


• Faktor-faktor lain

i) Faktor jangkitan penyakit seperti rubella boleh menyebabkan kerosakan pada sistem saraf janin. kerosakan pada sistem saraf tersebut menyebabkan kecacatan penglihatan, pendengaran, penyakit jantung dan kecacatan intelek pada bayi. Penyakit siflis yang diwarisi oleh ibu akan menyebabkan bayi mati dalam kandungan, kecacatan intelek, buta dan pekak. Cytomegalovirus adalah jangkitan yang kurang diketahui kesannya tetapi ia boleh mengganggu kelahiran hingga menyebabkan kecacatan neurologikal. Jangkitan akibat Toxoplasmosis boleh menyebabkan kecacatan penglihatan dan intelek.

ii) Faktor RH berlaku disebabkan ketidaksesuaian dalam darah antara ibu dan bayi. Tugas antibodi adalah untuk mengawal ibu yang mengandung daripada jangkitan. Tetapi adakalanya antibodi ini tidak sesuai dengan sel darah bayi lalu menyerang dan memusnahkannya. Hal ini bermakna, antibodi ibu akan memakan sel darah merah bayi. Kejadian selalunya tidak berlaku pada anak sulung. Faktor RH ini boleh menyebabkan berlakunya keguguran dan jika bayi berjaya lahir, kecacatan neurologi yang serius akan berlaku sehingga menyebabkan kecacatan intelek, spastik atau cacat pendengaran. Tanda-tanda awal kelahiran ialah hypotonia iaitu tona otot-otot yang rendah dan tidak bermaya diikuti oleh penyakit kuning, demam dan postur yang ganjil.

iii) Zat pemakanan ibu yang tidak seimbang juga boleh menyumbang kepada kecacatan. Ibu hamil yang kurang zat makanan seimbang akan menyebabkan bayi tidak mendapat zat yang mencukupi. Hal ini akan menganggu perkembangan bayi kerana bayi amat memerlukan sumber makanan yang seimbang untuk perkembangan dan pembesaran. Kekurangan zat makanan akan menyebabkan berlaku kecacatan dan ketidakseimbangan pertumbuhan.

iv) Kecederaan semasa penggunaan kaedah obstetric. Penggunaan forceps, vakum dan pembedahan caesearean dengan secara tidak professional boleh menyebabkan pendarahan di bahagian otak bayi. Tekanan pada tian yang masih lembut semasa bersalin mengakibatkan perkembangan bayi terencat, lemah akal, kelumpuhan otak atau kemungkinan berlaku perkara luar biasa yang lain.

v) Kemalangan boleh mengakibatkan kerosakan tisu otak ataupun saraf tunjang. Shaken baby syndrome di mana bayi digoncang dengan kuat supaya berhenti menangis boleh menggegarkan bahagian otak.


2.4.4 Ciri-ciri Cerebral Palsy

Ciri-ciri kanak-kanak yang bermasalah Cerebral Palsy dapat dilihat melalui pergerakan anggota badannya, sama ada pergerakan tangan atau kakinya atau kedua-duanya sekali. Terdapat ramai kanak-kanak Cerebral Palsy menghadapi masalah contracture atau otot-otot mencerut yang menyebabkan pergerakan semakin terbatas dan akhirnya menghasilkan kecacatan. Pencerutan otot yang luar biasa boleh menyebabkan tulang belakang membengkok dan pengalihan tulang pinggul. Mereka juga berkemungkinan besar akan menghidap penyakit lain seperti epilepsi, masalah penglihatan dan masalah terencat akal. Tahap kemampuan intelek kanak-kanak Cerebral Palsy boleh berada di tahap di antara pintar cerdas sehingga ke tahap terencat akal. Kanak-kanak Cerebral Palsy menghadapi masalah pergerakan motor yang mungkin akan menyebabkan mereka bermasalah untuk makan dan menelan makanan. Sekiranya ini berlaku, kanak-kanak itu perlu mengambil makanan melalui tiub yang disalur terus ke dalam perut untuk memastikan dia menerima zat makanan yang sewajarnya.

Apabila kanak-kanak mengalami kerosakan otak, pelbagai gejala yang ditunjukkan boleh membuatkan para doktor dan ibu bapa dapat membuat andaian sesuatu yang tidak kena sedang berlaku terhadap kanak-kanak itu. Dalam beberapa bulan pertama kelahiran, bayi dengan kerosakan otak mungkin menunjukkan gejala seperti i) kelihatan lesu dan kurang sedar, ii) tidak selesa dan sukar dijaga, iii) abnormal, sering menangis dengan kuat, iv) tangan dan kaki menggeletar, v) sukar menghisap dan menelan, vi) ketegangan otot yang rendah, vii) postur yang abnormal, suka mengiring sebelah badan sahaja, dan viii) diserang sakit yang tiba-tiba.

Dalam tempoh enam bulan pertama, tanda-tanda yang berkaitan dengan kerosakan otak juga dapat dilihat dalam ketegangan otot dan postur bayi, seperti: i) ketegangan otot mungkin berubah perlahan-lahan daripada ketegangan yang rendah kepada ketegangan yang tinggi hingga ia menjadi kaku, ii) bayi mungkin menggenggam tangannya, iii) mungkin berlaku pergerakan simetri, iaitu satu bahagian badan dapat bergerak dengan lebih mudah berbanding bahagian sebelah lagi, dan iv) mungkin menghadapi kesukaran untuk makan kerana lidah menolak makanan keluar.

Pada masa ini, masih tidak terdapat sebarang rawatan untuk merawat Cerebral Palsy. Namun Cerebral Palsy boleh dikawal melalui pengambilan ubatan seperti Diazepam, Baclofen dan Botox. Selain itu, melalui surgeri ataupun pembedahan juga boleh mengurangkan ketegangan dan kecerutan otot-otot lalu mengurangkan pergerakan luar biasa anggota badan penghidap Palsy.

Kanak-kanak yang menghidap Cerebral Palsy akan di diagnosis melalui sejarah kesihatan, simptom, pemeriksaan fizikal, pemeriksaan otak seperti CT Scan (Computed Tomography), MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan Ultrasound.

Di Malaysia, terdapat beberapa agensi utama yang menentukan kelayakan kanak-kanak Cerebral Palsy menerima perkhidmatan pendidikan khas di negara ini. Agensi tersebut adalah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran dan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan. Penentuan akan dibuat berdasarkan diagnosis pakar-pakar atau pengamal perubatan untuk menentukan keadaan kanak-kanak tersebut.

Bagi golongan kanak-kanak Cerebral Palsy ringan dan sederhana yang tidak terlalu bergantungan kepada orang lain mereka akan ditempatkan di sekolah-sekolah biasa Kementerian Pelajaran. Bagi yang boleh di didik akan ditempatkan di sekolah kerajaan untuk Program Intervensi, Program Inklusif dan Program Pendidikan Khas yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi kes-kes kelumpuhan serius yang menghalang kanak-kanak ditempatkan di Sekolah-sekolah Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, mereka akan ditempatkan di pusat-pusat khas kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK atau badan-badan / persatuan sukarela (NGO). Golongan yang menghidap Palsy serius ini ditempatkan ditempat berkenaan kerana mempunyai kelengkapan peralatan serta pakar-pakar yang boleh memenuhi keperluan kanak-kanak khas ini.

Program-program khas untuk golongan Cerebral Palsy bergantung kepada tahap kecacatan dan keperluan mereka. Kakitangan profesional seperti pakar terapi fizikal, pakar patologi bahasa-pertuturan, guru-guru pendidikan khas terlatih serta guru prasekolah terlatih, pakar perubatan dan jururawat serta ahli keluarga terlibat sama di dalam program pendidikan kanak-kanak khas ini. Program aktiviti kehidupan harian atau ADL (Activities of Daily Life) dijalankan untuk melatih penyesuaian hidup mereka terhadap kehidupan seharian di dalam masyarakat.

Di negara maju khususnya Amerika Syarikat (AS), kanak-kanak Cerebral Palsy termasuk dalam golongan kanak-kanak khas kecacatan ortopedik. Golongan ini dilindungi oleh perundangan walaupun tafsiran kecacatan itu bergantung pada tafsiran pihak berwajib negeri-negeri dibawah naungannya. Undang-undang Persekutuan AS juga mewajibkan kerajaan-kerajaan negerinya untuk menyediakan pendidikan untuk golongan ini. Perundangan khas Public Law atau lebih dikenali sebagai IDEA (Individuals With Disabilities Education Acts) melindungi hak-hak golongan khas ini. IDEA mewajibkan kanak-kanak khas ini dikenalpasti, ditempatkan di pusat-pusat asuhan khas dan melalui pembelajaran program pendidikan khas, penilaian pencapaian pembelajaran dan kemahiran kanak-kanak adalah sesuatu yang wajib dan perkhidmatan yang disediakan harus berbentuk pelbagai kemahiran (multi-disciplinary).


2.4.5 Kesan-kesan Cerebral palsy

Masalah lain yang timbul akibat kecacatan ini termasuk masalah pembelajaran, terencat akal, epilepsi, masalah pertuturan, kesukaran untuk makan, masalah deria dan lain-lain. Kanak-kanak yang mengalami Cerebral Palsy yang ringan memerlukan terapi bagi membantu mereka memperkembangkan kemahiran motor yang lebih baik.

Manakala bagi mereka yang mengalami masalah ini pada peringkat sederhana, memerlukan lebih banyak masa dan usaha bagi memastikan mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang. Mereka dapat berjalan tetapi dalam kadar yang lambat berbanding kanak-kanak normal. Di samping itu, mereka juga memerlukan kerusi roda dan peralatan lain bagi membantu mereka bergerak. Bagi kanak-kanak dalam kategori teruk, bantuan dalam aktiviti kehidupan seharian diperlukan. Biasanya mereka tidak dapat berjalan, berdikari ataupun bercakap. Oleh itu, pembelajaran bagi mereka adalah dengan melihat dan mendengar. Disebabkan mobiliti mereka yang terhad, kedudukan mereka perlu diubah dari semasa ke semasa. Kanak-kanak Cerebral Palsy juga mungkin turut mengalami masalah lain seperti masalah penglihatan, pendengaran ataupun pembelajaran.

Namun begitu, hampir 40% kanak-kanak Cerebral Palsy ini mempunyai kebolehan kognitif yang normal ataupun lebih baik daripada kanak-kanak yang sebaya dengannya. Hal ini menunjukkan, ketidakupayaan fizikal dan komunikasi yang ada pada mereka tidak bermakna mereka mengalami terencat akal.


2.4.6 Cara rawatan

Kanak-kanak Cerebral Palsy memerlukan khidmat pakar terapi fizikal atau jurupulih pekerjaan dalam pembangunan motor mereka contohnya berguling-guling, duduk, berjalan, mencapai benda dan memegangnya. Jurupulih anggota dan terapi cara kerja memberi rawatan secara langsung dan menilai laporan perubatan serta merancang kaedah yang sesuai untuk menjalankan terapi. Namun kadang kala disebabkan masa yang terhad, mereka biasanya mengajar ibu bapa tentang teknik-teknik kedudukan dan senaman yang sesuai untuk dilakukan di rumah.

Peralatan bantuan dan sokongan digunakan untuk membantu kanak-kanak bergerak dengan stabil, membetulkan cara berdiri yang kurang normal dan mengawal gerakan yang tidak disengajakan. Alat yang dinamakan angle-foot orthoses (AFO) boleh mengurangkan kanak-kanak Cerebral Palsy daripada berjalan tidak sempurna. Terdapat dua rekaan AFO iaitu yang disambung pada bawah jari kaki hingga ke bawah lutut dan yang kedua pula dipasang pada tapak kaki. Alat ini diperbuat daripada polypropylene.

Nor Affizar Ibrahim, Berita Harian (2008) menyatakan bahawa suntikan botox mampu merawat Cerebral Palsy dan bahan kandungan suntikan botox yang digunakan untuk rawatan kanak-kanak Cerebral Palsy adalah sama dengan kaedah rawatan kecantikan botox bagi anti penuaan. Kaedah perubatan suntikan botox sudah berkurun lama diperkenalkan malah digunakan secara meluas dalam kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak bagi menangani beberapa masalah terutamanya berkaitan neurologi yang menyebabkan gejala fizikal seperti lemah atau lumpuh, kehilangan kawalan pergerakan otot, kekejangan dan ketegangan otot secara tiba-tiba. Suntikan botox menjadikan pergerakan kanak-kanak Cerebral Palsy lebih mudah seperti dapat menjejakan tumit kaki pada lantai, membetulkan bengkok pada kaki, berjalan lebih baik dan meningkatkan fungsi tangan. Suntikan botox bukanlah penyembuhan ajaib sepenuhnya bagi Cerebral Palsy sebaliknya rawatan perlulah dilakukan bersama dengan terapi fizikal standard dan pemulihan yang lain. Hal ini kerana, kesan pengenduran otot bermula antara seminggu daripada suntikan dan selepas sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan, ia akan kembali tegang serta memerlukan suntikan semula. Namun, melalui fisioterapi intensif serentak, kesan terhadap botox boleh bertahan lama.

Pembedahan adalah kaedah rawatan yang dilakukan sekiranya kaedah-kaedah rawatan lain tidak berjaya. Pembedahan banyak membawa risiko antaranya adalah kanak-kanak tidak dapat hadir ke sekolah dalam jangka masa yang agak lama. Penilaian berterusan harus dijalankan terhadap golongan kanak-kanak Cerebral Palsy yang menjalani rawatan atau melalui proses pembelajaran dalam program khas. Penilaian terhadap kemahiran pergerakan motor dijalankan untuk mengukur kemajuan dan tahap kemahiran dicapai. Penilaian terhadap kemahiran berbahasa dan pertuturan diuji untuk mengetahui tahap pencapaian yang telah dikuasai oleh kanak-kanak.



2.5 Epilepsi

2.5.1 Definisi

Epilepsi merupakan satu penyakit sistem saraf yang boleh berlaku pada semua orang tidak kira umur, jantina, kaum, kelas sosial atau kewarganegaraan. Epilepsi boleh disebabkan oleh kecederaan kepada otak, kesan trauma seperti kemalangan kereta atau kecederaan kepada kepala. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui punca sebenar epilepsi. Epilepsi didiagnosiskan apabila berlakunya serangan berulang (kadangkala dinamakan sawan) di dalam suatu masa di dalam kehidupan seseorang. Jika hanya mengalami satu serangan, kebiasaannya ia bukan Epilepsi.

Epilepsi ialah satu gejala gangguan saraf disebabkan oleh kecacatan atau gangguan pada isyarat elektrik yang mengawal operasi otak. Turut dikenali sebagai gila babi dalam masyarakat Malaysia khususnya kaum Melayu. Otak biasanya menerima dan menghantar maklumat dalam bentuk impuls elektrik. Jika berlaku aktiviti atau penghantaran impuls elektrik yang luar biasa atau pertambahan mengejut impuls elektrik di dalam otak, ia akan dilahirkan dalam bentuk sawan yang merupakan kejadian sementara sahaja. Epilepsi dikategorikan sebagai kejadian sawan yang berulang-ulang, berlaku secara tiba-tiba dan sekejap sahaja. Sifat dan kekuatannya berbeza-beza daripada seorang ke seorang yang lain. Epilepsi tidak menjejaskan kepintaran. Kebanyakan orang yang menghidap epilepsi berupaya mendapatkan pendidikan yang normal, malah mampu memperolehi ijazah.

Kita tidak perlu takut kepada penyakit Epilepsi atau mengubah sikap apabila berhadapan dengan mereka yang menghidap Epilepsi. Seseorang yang menghidap Epilepsi masih boleh menikmati gaya hidup yang efektif jika sawannya dapat dikawal dengan baik. Epilepsi atau sawan merupakan ketidakaturan otak yang mengganggu fungsi sistem saraf yang normal. Hal ini menyebabkan penghidapnya mengalami sawan berulang kali atau tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Epilepsi terjadi apabila sekumpulan sel-sel saraf otak menyahcas atau mengeluarkan impuls elektrik secara seiringan. Hal ini akan memberikan kesan sementara terhadap tingkahlaku, pergerakan, deria, persepsi dan perasaan individu tersebut. Disebabkan keadaan yang tidak dapat diramal, individu mungkin mengalami kecederaan yang serius. Epilepsi merupakan satu penyakit sistem saraf yang umum di dunia dan melibatkan seramai 50 juta orang. Walaupun terdapat sejumlah besar penghidap Epilepsi, masih ramai lagi penghidap yang berhadapan dengan prejudis daripada orang lain, kebiasaannya kerana kurang pengetahuan mengenai makna penyakit Epilepsi yang sebenarnya. Ramai penghidap Epilepsi boleh hidup, bekerja, mempunyai pekerjaan yang baik, menikmati perhubungan yang normal dan menjadi ahli aktif masyarakat jika serangan boleh dikawal dengan baik (http://www.efarmasi.com.my/contents/ selfcare/selfcar e.asp? sfcr= SawanBabi.htm 25k).


2.5.2 Jenis-jenis Epilepsi

Terdapat dua kategori utama Epilepsi iaitu sawan separa atau setempat dan sawan menyeluruh. Sawan menyeluruh ini melibatkan keseluruhan bahagian otak secara serentak. Sawan menyeluruh ini mempunyai empat jenis iaitu Serangan Tonik-Klonik, Serangan Ketiadaan, Serangan Mioklonik dan Serangan Atonik. Serangan Tonik-Klonik boleh menghasilkan kehilangan kesedaran secara tiba-tiba, dengan seluruh badan menjadi kejang pada permulaannya (fasa tonik) dan kemudian sentakan tangan dan kaki (fasa klonik). Pesakit mungkin menggigit lidah mereka, membuang air kecil atau menyakiti diri mereka sendiri semasa jatuh atau dengan sentakan. Selepas serangan berhenti, mereka akan sembuh dengan perlahan. Manakala serangan ketiadaan pula adalah singkat (hanya selama beberapa saat) tetapi boleh berlaku banyak kali sehari. Apabila seseorang mempunyai jenis serangan ini, mereka akan menjadi kaku dan tidak boleh bertindak balas dengan renungan kosong. Mereka akan sedar dengan cepat dan pada kebanyakan masa, jenis serangan ini boleh berlaku tanpa disedari kerana ianya berlaku sebentar sahaja. Serangan jenis ini selalunya bermula pada zaman kanak-kanak atau awal dewasa dan kesukaran utama yang dihadapi ialah ianya akan kerap berlaku serta akan membawa kepada kehilangan penumpuan dan masalah pembelajaran bagi kanak-kanak atau awal dewasa. Serangan Mioklonik pula menyebabkan sentakan badan atau anggota (tangan atau kaki) secara tiba-tiba yang mana akan menyebabkan seseorang itu melepaskan semua benda yang dipegang di dalam tangan. Serangan Atonik menyebabkan kehilangan kekuatan otot dan kesedaran secara tiba-tiba menyebabkan seseorang itu jatuh. Mereka akan sedar dengan segera. Walau bagaimanapun, keseriusan serangan ini adalah risiko kecederaan daripada hantukan kepala atau jatuh.

(http://www.efarmasi.com.my/contents/selfcare/selfcare.asp?sfcr=SawanBabi.htm 25k)


Selain itu terdapat juga jenis sawan yang menyerang kanak-kanak. Sawan yang menyerang kanak-kanak adalah sawan Absens. Kebanyakannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah. Sawan jenis ini biasanya menyerang untuk suatu tempoh yang pendek dan mungkin tidak dapat dikesan oleh orang lain. Mangsa kelihatan seperti berkhayal dan akan berhenti daripada aktiviti yang sedang dilakukannya serta merenung kosong selama 5 hingga 30 saat. Matanya mungkin memandang ke atas atau berkedip dan kelihatan seolah-olah seperti sedang berkhayal. Jika dibiarkan tanpa rawatan, sawan ini akan berulang lebih kerap dalam sehari. Kanak-kanak ini mungkin akan menghadapi masalah untuk belajar dan memberi tumpuan di dalam kelas. Di samping itu, jenis sawan lain turut menyerang kanak-kanak ialah Sindrom West. Sawan jenis ini biasanya berlaku pada kanak-kanak yang berumur di antara 4 hingga 8 bulan. Sindrom Lennox-Gastaut melibatkan kanak-kanak yang muda. Sindrom ini merupakan Epilepsi yang paling buruk berlaku pada kanak-kanak yang muda.

Manakala sawan separa pula ialah bermula di satu bahagian tertentu dalam otak (contohnya di hipokampus), tetapi boleh merebak ke bahagian otak yang lain. Sawan separa ini boleh dibahagikan kepada dua kategori separa kompleks dan separa ringkas. Serangan ringkas ini tidak menyebabkan seseorang hilang kontak dengan persekitaran mereka (kesedaran tidak terjejas). Oleh kerana otak mengawal kebanyakan fungsi badan, jika suatu serangan berlaku, maka ia selalunya menjejaskan organ yang dikawal oleh bahagian otak yang tertentu.Contohnya, mata boleh menyebabkan seseorang melihat cahaya, objek, haiwan atau orang lain. Telinga pula boleh menyebabkan seseorang mendengar bunyi, suara atau melodi. Hidung selalunya sukar untuk dijelaskan tetapi kebiasaannya menghidu bau yang kurang enak. Sistem pencernaan boleh menyebabkan loya. Memori atau emosi boleh menyebabkan perasaan dejavu (perasaan di mana anda pernah melakukan atau berada di dalam suatu situasi sebelum ini), pemikiran yang pelik, perasaan takut, kesihatan atau kerunsingan. Jantung, paru-paru, kelenjar atau suhu boleh menyebabkan degupan jantung yang cepat, kadar pernafasan yang berubah, berpeluh, demam atau menggigil. Sesetengah orang mungkin mengalami amaran, yang dinamakan aura (serangan separa ringkas) sebaik sebelum hilang kesedaran atau menjadi hilang kontak dengan persekitaran mereka (serangan separa kompleks). Satu aura selalunya berlaku selama beberapa saat tetapi ia boleh berlaku lebih lama.

Manakala sawan kompeks pula ialah penghidap jenis serangan ini hilang kontak dengan persekitaran mereka (hilang kesedaran). Mereka tidak boleh bergerak, dengan renungan yang kosong dan tidak boleh bertindak balas. Mereka selalunya mengunyah atau menelan atau mengerakkan tangan mereka. Kadang-kala, mereka akan bergerak seolah-olah mereka sedar (sedar dengan persekitaran mereka) tetapi akan bertindak ganjil, tidak bertindak balas apabila orang bercakap dengannya atau bertindak balas secara tidak normal (http://www. infosihat. gov.my/ PDF% 20Penyakit /Sakit%20 Sa raf_Epilepsi_02.pdf).


2.5.3 Faktor-faktor Penyebab Epilepsi

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada Epilepsi dan biasanya ia sedikit sebanyak berhubungkait dengan umur. Terdapat beberapa penyebab bagi Epilepsi termasuklah penyebab yang biasa berlaku iaitu penyebab kepada orang dewasa dan kanak-kanak. Penyebab yang biasa berlaku adalah seperti kecederaan di kepala, faktor genetik, tumor otak dan tekanan psikologi (menyebabkan sawan palsu- pseudoseizure iaitu serangan yang sama dengan sawan epilepsi tetapi tercetus atas sebab-sebab psikologi sahaja). Paradoksikal atau tindakbalas luarbiasa terhadap ubat-ubatan termasuklah dadah antiepilepsi.

Penyebab yang seterusnya ialah penyebab pada orang dewasa. Faktor ini melibatkan Sklerosis (parutan), hipokampus (bahagian jirim kelabu di ventrikel lateral dalam otak) dan penyalahgunaan alkohol atau dadah. Kesan ketagihan akibat penghentian dadah tertentu seperti antidepresan, stres, antipsikotik atau dadah antiepilepsi. Jangkitan kuman seperti Meningitis dan Ensefalitise serta pendedahan kepada bahan kimia tertentu seperti plumbum di tempat kerja. Sawan ini juga boleh terjadi kepada kanak-kanak. Antara faktor yang terjadi kepada kanak-kanak ialah demam yang kuat. Selain itu, suntikan vaksin iaitu sawan sebagai reaksi suntikan ini jarang berlaku. Sawan aruhan televisyen iaitu sawan ini berlaku apabila terdedah kepada sinaran televisyen terlalu lama. Di samping itu, kecacatan sewaktu lahir juga turut menjadi penyebab berlakunya sawan ini. Kerosakan otak juga mempengaruhi terjadinya sawan serta keracunan. Kecederaan di kepala dan ubat-ubatan seperti Melatonin iaitu sejenis hormon yang digunakan untuk mengawal tidur, mood, masalah baligh dan kitaran ovari juga antara penyebab berlakunya sawan ini kepada kanak-kanak.

Faktor risiko utama yang diketahui ialah keturunan. Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko epilepsi termasuklah kecederaan di kepala seperti selepas jatuh, kemalangan jalan raya ataupun kecederaan semasa bersukan, strok atau angin ahmar. Selain itu, jangkitan kuman pada sistem saraf pusat seperti meningitis (keradangan meninges yang merupakan 3 lapisan membran tisu perantara yang mengalas tengkorak dan saluran vertebra). Ia juga menutupi otak dan saraf tunjang. Jangkitan ini disebabkan oleh kuman virus atau bakteria yang menyebabkan pneumonia, siplis atau tibi. Penyakit kemerosotan sistem saraf pusat seperti penyakit Alzheimer berbentuk penyakit demansia berlaku dalam kalangan mereka di pertengahan umur dan wargatua. Penyakit ini tidak boleh dirawat. Sawan ketidakwujudan iaitu sawan berlaku secara tiba-tiba yang mengganggu kesedaran pemikiran atau aktiviti juga merupakan faktor penyebab sawan ini. Sawan Mioklonik yang progresif iaitu sejenis Epilepsi yang diikuti dengan mioklonus (kekejangan otot yang berlaku secara tiba-tiba terutama ketika mengangkat sesuatu atau membengkok tangan). Epilepsi Mioklonik juvana pula ialah sindrom sentakan mioklonik yang menyerang secara tiba-tiba terutamanya di waktu pagi atau ketika tertekan atau keletihan.


2.5.4 Ciri-ciri Penyakit Epilepsi

Terdapat tanda-tanda penyakit Epilepsi ini terhadap pesakit. Bagi sawan menyeluruh tonik-klonik iaitu mereka yang menghidap penyakit ini tidak sedarkan diri semasa penyakit ini menyerang. Pesakit juga akan menggigit lidah atau pipi serta mengalami sentakan kaki dan tangan. Selain itu, mereka juga turut mengalami pernafasan terhenti sementara dan hilang kawalan usus dan pundi kencing. Keadaan ini akan sembuh secara perlahan-lahan dan kemudian akan tertidur yang agak lama.

Bagi sawan Petit Mal pula tiada perubahan pergerakan dan kedudukan kepada pesakit. Kemudian pesakit tidak sedarkan diri seketika dan kerlipan mata biasanya hanya merupakan manifestasi motor. Serangan yang berulang-ulang (sehingga 50 - 100 kali setiap hari) juga turut berlaku dan sawan jenis ini sering berlaku di zaman kanak-kanak. Sawan ini boleh mengganggu pembelajaran terhadap pesakit.

Sawan Separa Ringkas mempunyai tanda-tanda seperti pesakit masih sedarkan diri semasa kejadian tersebut berlaku. Gejala dan tanda yang wujud akan menentukan kawasan fokus elektrik contohnya sentakan satu tangan sahaja, terasa sesuatu yang aneh di sebelah kaki dan lain-lain lagi. Selain itu, pesakit mungkin terasa loya, berpeluh serta terbeliak mata. Keadaan mental dan emosi yang ganjil seperti tindakbalas yang berlebihan terhadap bau dan rasa.

Manakala Sawan Kompleks pula seringkali bermula dengan rasa tidak selesa pada abdomen atau gangguan terhadap deria rasa tertentu (seperti berbau sesuatu yang aneh). Kemungkinan juga mengalami pening, berpeluh, kulit menjadi merah atau anak mata membesar. Kemudian pergerakan yang tidak dapat dikawal berlaku secara berulang-ulang (automatisma) seperti mengunyah, mengecap bibir atau menelan. Pesakit juga mungkin hilang pertimbangan dan tidak sedarkan diri tetapi tidak mengalami perubahan postur. Selain itu juga pesakit juga berkemungkinan yang mempunyai Amnesia. Sawan jenis ini akan sembuh secara perlahan(http://www.infosihat.gov.my/PDF%20Penyakit/Sakit%20Saraf_Epilepsi_02.pdf).


2.5.5 Kesan –kesan

Penyakit Epilepsi ini akan menyebabkan kompilasi-kompilasi kepada individu yang mengalami masalah ini semasa sawan ini terjadi. Pesakit akan mengalami kecederaan fizikal disebabkan oleh pergerakan yang ganas. Hal ini kerana pesakit tidak akan sedarkan diri dan mereka akan melakukan apa sahaja tanpa kesedaran diri mereka. Contohnya, kepala mereka akan terhantuk di permukaan yang keras semasa rebah. Keadaan ini berlaku tidak kira di mana-mana dan kemungkinan pesakit terjadi di tempat yang mempunyai permukaan yang keras.

Selain itu, pesakit juga akan menggigit lidah sendiri jika tidak ada orang yang membantu semasa seseorang itu menjadi sawan. Hal ini akan menyebabkan kecederaan akan berlaku pada lidah individu tersebut. Pesakit tidak sedarkan diri semasa berlaku dan jika tidak ada orang yang membantu, kemungkinan lidah pesakit tersebut mengalami pendarahan yang teruk kerana sawan ini terjadi dalam masa yang agak lama.

Di samping itu, jika kekerapan sawan ini berlaku akan menyebabkan kerosakan pada otak. Hal ini kerana sawan ini akan menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri dan sel-sel otak akan mati pada masa yang singkat. Keadaan ini juga terjadi akibat daripada hentakkan kepala apabila pesakit terjatuh dan rebah di tempat yang keras. Kepala akan mengalami gegaran dan akan menyebabkan darah akan membeku di dalam otak tersebut.

Lazimnya, kadang kala penyakit sawan ini akan membawa maut ke atas pesakit. Hal ini kemungkinan pesakit akan membawa maut kerana kadang kala pesakit akan terjatuh di tempat yang keras dan akan mengalami pendarahan yang teruk jika tiada orang yang menolong. Selain itu, jika seseorang itu mengalami sawan, dia tidak digalakkan memandu berseorangan. Hal ini kerana mereka ini tidak tahu bila penyakit ini akan menyerang mereka. Kemungkinan jika memandu bersendirian dan sawan terjadi pada masa itu boleh menyebabkan kemalangan berlaku dan ini boleh membawa maut (http://www. infosihat.gov.my /PDF%20Penyakit /Sakit%20 Saraf_ Epi lepsi_02.pdf).


2.5.6 Langkah- langkah Mengatasi
Bagi mengatasi masalah sawan ini perlu mempunyai langkah-langkah bagi menghindar penyakit ini. Pesakit sendiri boleh membantu diri mereka sendiri bagi mengelakkan sawan ini berlaku. Antaranya ialah memahami mengenai Epilepsi yang dihidapinya. Ambil ubat seperti yang diarahkan supaya dapat dikawal dan boleh menjalani kehidupan yang normal. Ubat-ubatan tidak dapat menyembuhkan Epilepsi tetapi dapat membantu menghilangkan sawan atau mengurangkan kekerapannya. Pengambilan ubat mestilah diteruskan walaupun tiada serangan dalam tempoh beberapa tahun kecuali jika doktor mengarahkan sebaliknya.

Selain itu, pesakit perlu memakai topi keledar keselamatan apabila menunggang basikal, kuda dan lain-lain. Pesakit juga boleh memakai gelang amaran perubatan dan apabila berenang pastikan anda tidak bersendirian. Elakkan faktor-faktor yang boleh mencetuskan Epilepsi dan elakkan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan atau membahayakan diri ataupun orang lain di sekeliling (contohnya, mendaki gunung, memandu kereta atau mengendalikan mesin) kecuali jika sawan dapat dikawal dengan baik dan doktor telah mengesahkan bahawa anda mampu melakukannya.

Seterusnya, masyarakat juga boleh membantu pesakit sawan ini dan jangan menyingkirkan mereka. Menerima seseorang yang menghidap Epilepsi sebagai seorang yang normal dan memberikan sokongan positif untuk membantunya menjalani kehidupan yang normal. Masyarakat juga perlu belajar rawatan pertolongan cemas supaya dapat membantu orang yang diserang sawan.

Bagi memberi pertolongan cemas untuk sawan yang teruk ialah seseorang itu jangan terlalu panik dan cuba pegang mangsa semasa dia rebah atau jatuh dan baringkan perlahan-lahan untuk mengelakkan kecederaan pada kepalanya. Kemudian bersikap tenang dan mangsa sebenarnya tidak merasa sakit serta tidak akan menggigit atau menelan lidahnya. Alihkan benda-benda yang keras dan tajam yang boleh mencederakannya. Selepas sawan reda, letakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan dan longgarkan pakaian yang ketat. Kedudukan ini akan menghalang mangsa daripada tercekik akibat gigi palsu, lidah atau muntahnya sendiri. Selain itu jangan hentikan pergerakan mangsa dan memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya serta memberi makanan atau minuman kepada mangsa sejurus selepas sawan. Jika sawan berlarutan lebih daripada 10 minit atau serangan sawan berulang-ulang dan mangsa langsung tidak sedarkan diri di antara serangan-serangan tersebut, individu yang membantu perlu menghubungi doktor (http://www.infosihat.gov.my/PDF%20Penyakit/Sakit%20Saraf_Epilepsi_02.pdf).

Menurut Dr. Ken J Lee ( 2005) Epilepsi boleh dirawat melalui kaedah biasa iaitu melalui ubat atau dadah antiepileptik (AEDs) yang dibangunkan khusus untuk mengembalikan ketidakseimbangan kimia di dalam sel otak yang menghasikan aktiviti elektrikal berlebihan hingga menyebabkan serangan ini terus berlaku. Pilihan doktor mengenai ubat untuk diberi kepada pesakit bergantung kepada jenis serangan kerana sesuatu jenis ubat yang digunakan untuk tujuan berlainan bagi mengawal serangan. Kaedah lain juga boleh diambil iaitu melalui pembedahan. Menurut Dr. Raymond ( 2005), hanya lima peratus Epilepsi boleh dibedah dan prasyaratnya amat ketat. Antara kriteria kelayakan itu termasuk kecederaan sedia ada yang disebabkan oleh serangan, satu rekod yang serasi dengan ubat dan IQ yang melebihi 70. Di samping itu, kaedah lain untuk mencegah ialah stimulasi atau merangsang saraf vagus (VNS) yang membabitkan impian penjana bagi merangsang saraf vagus, sekali gus mengurangkan aktiviti serangan. Saraf vagus adalah satu daripada 12 pasang saraf kranial ( saraf yang berasal dari otak). Epilepsi.(2005,Julai 5).Berita Harian,m/s 1.



3.0 Penutup
Secara kesimpulannya, ibu bapa mahupun masyarakat haruslah tidak meminggirkan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran ini. Mereka juga adalah manusia yang mempunyai perasan seperti kanak-kanak normal yang lain walaupun mereka ditakdirkan sejak azali lagi mempunyai kecacatan atau bermasalah pembelajaran ini. Mereka juga perlu diberikan perhatian dan peluang untuk meneruskan kehidupan. Kita tahu bahawa kadang-kadang berlaku salah tanggapan daripada ibu bapa, guru-guru mahu pun masyarakat mengenai kanak-kanak yang kurang maju dalam pelajarannya. Mereka ini dikatakan malas, tiada motivasi, bodoh dan asyik bermain. Selain itu, tanggungjawab untuk membantu kanak-kanak ini bukan hanya terletak di bahu para profesional ataupun guru-guru sahaja malah ibu bapa juga turut perlu mengambil berat dan memastikan anak-anak mereka mendapat perhatian yang sewajarnya dan tidak dipinggirkan. Kita sebagai masyarakat yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini haruslah sedar bahawa tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancang. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik seperti mereka ini sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang.

Beberapa langkah penyesuaian haruslah diambil untuk membantu kanak-kanak istimewa ini, ianya haruslah merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan yang memerlukan mereka ini belajar seperti kanak-kanak normal yang lain. Walau bagaimanapun, pendekatan pembelajaran mereka haruslah berbeza daripada kanak-kanak normal yang lain. Aktiviti-aktiviti ini perlu merangkumi perkara seharian seperti usaha seorang pelajar meningkatkan kemahiran pembacaannya serta kemahiran bermatematik. Keadaan ini merujuk kepada cara membuat kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru dengan lebih efisien, di samping itu ibu bapa juga cuba untuk meningkatkan usaha dalam memberi sokongan, penjagaan kesihatan dan sebagainya yang berkaitan dengan anak mereka. Bagi membantu kanak-kanak ini belajar, seseorang guru itu perlu tahu keadaan kanak-kanak ini sendiri, sifat, keperluan serta latar belakangnya. Mereka perlu mempertimbangkan bagaimana membantu pelajar menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya supaya terus belajar, mempermudahkan proses pembelajarannya dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajari. Ada juga di antara kanak-kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan diberikan peluang untuk sama-sama memperolehi pelajaran seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka juga boleh dipimpin supaya menguasai banyak perkara abstrak yang mudah (www.pts.com.my/v2/modules.php?name=News&file=print&sid=4 - 29k -).

Bibliografi tidak disertakan kerana utk mengelakkan copy paste yg mudah... artikel ini merupakan tugasan kumplan kawan sekuliah di UPSI... semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit ilmu kepada kita...

No comments:

Post a Comment